Kuala Nerus merupakan daerah baru di Negeri Terengganu. Daerah ini telah diisytiharkan secara rasminya sebagai daerah baru oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dalam lawatan rasmi beliau ke Majlis Pecah Tanah Hospital Pengajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) pada 18 September 2014 yang lalu.

Persempadanan Daerah Kuala Nerus umumnya merangkumi utara Sungai Nerus sehingga ke sempadan Daerah Setiu. Ia melibatkan Mukim Kuala Nerus, Mukim Batu Rakit, Mukim Pulau Redang dan Mukim Pakoh. Mukim Pakoh adalah satu Mukim baru yang asalnya berada dalam Mukim Belara. Keluasan Daerah Kuala Terengganu yang asalnya seluas 60,773.60 Hektar berkurang menjadi 21,021.47 Hektar manakala 39,752.13 Hektar (65%) kini berada dalam daerah baru Kuala Nerus. Daerah ini mempunyai anggaran jumlah penduduk seramai 200,000 orang dan terdapat 105 JKKK dalam pentadbiran Daerah Kuala Nerus.


Majlis Peletakan Batu Asas Pusat Pentadbiran Daerah Kuala Nerus di Kampung Baroh Tok Jiring, Kuala Nerus telah disempurnakan pada 09 Mei 2015 oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin. Pusat Pentadbiran Daerah Kuala Nerus telah diisytiharkan sebagai Bandar Al-Wathiqu Billah oleh Sultan Terengganu sempena Ulang Tahun ke 53 Keputeraan Sultan Terengganu.

Pembangunan Bandar Al-Watiqu Billah yang menjadi pusat pentadbiran dan komersil Daerah Kuala Nerus seluas 187 hektar akan bermula pada tahun ini dengan kos RM600 juta dan akan siap dalam tempoh lima tahun.

Pusat Pentadbiran Daerah Kuala Nerus mempunyai keluasan 187.76 Hektar. Di sini akan menempatkan bangunan Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Nerus, bangunan gunasama Kerajaan Negeri, bangunan gunasama Kerajaan Persekutuan, pusat komersial, dan kemudahan-kemudahan lain. Secara umumnya, pembangunan di Pusat Pentadbiran Daerah Kuala Nerus adalah berkonsepkan Modern & Green City”.

Daerah Kuala Nerus tersedia dengan kewujudan institusi-Institusi pendidikan yang menjadikannya sebagai Lembah Ilmu. Ini adalah sejajar dengan gelaran Negeri Terengganu sebagai Anjung Ilmu. Selain daripada itu, gugusan kepulauan yang wujud di perairan Kuala Nerus seperti, Pulau Redang, Pulau Bidong, Pulau Gelok, Pulau Karah dan sebelas pulau-pulau kecil yang lain menjadikan Kuala Nerus berpotensi untuk berkembang sebagai daerah pelancongan yang bertaraf antarabangsa.

Uniknya Kuala Nerus kerana daerah ini merupakan ‘Pintu Gerbang’ utama ke Negeri Terengganu kerana di sini terdapatnya Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Mahmud di Telaga Batin dan juga Pintu Keluar Lebuhraya Pantai Timur II iaitu di Gemuroh

Pejabat Daerah Dan Tanah Kuala Nerus, Terengganu

"Seiring Transformasi, Kuala Nerus Menuju Maju"


Penafian: Pejabat Daerah Dan Tanah Kuala Nerus tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kerosakan di atas penggunaan apa jua maklumat dalam laman web ini.

Hits Pengunjung

Today 47

Week 485

Month 1105

All 60584

FOLLOW US ON FACEBOOK

Pautan Luar

© Hakcipta Terpelihara 2024 . Laman Web Rasmi Pejabat Daerah Dan Tanah Kuala Nerus