Latar Belakang Daerah Kuala Nerus |
![]() |
![]() |
![]() |
Oleh Administrator |
Isnin, 04 Januari 2016 00:00 |
Kuala Nerus merupakan daerah baru di Negeri Terengganu. Daerah ini telah diisytiharkan secara rasminya sebagai daerah baru oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dalam lawatan rasmi beliau ke Majlis Pecah Tanah Hospital Pengajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) pada 18 September 2014 yang lalu. Persempadanan Daerah Kuala Nerus umumnya merangkumi utara Sungai Nerus sehingga ke sempadan Daerah Setiu. Ia melibatkan Mukim Kuala Nerus, Mukim Batu Rakit, Mukim Pulau Redang dan Mukim Pakoh. Mukim Pakoh adalah satu Mukim baru yang asalnya berada dalam Mukim Belara. Keluasan Daerah Kuala Terengganu yang asalnya seluas 60,773.60 Hektar berkurang menjadi 21,021.47 Hektar manakala 39,752.13 Hektar (65%) kini berada dalam daerah baru Kuala Nerus. Daerah ini mempunyai anggaran jumlah penduduk seramai 200,000 orang dan terdapat 105 JKKK dalam pentadbiran Daerah Kuala Nerus.
Pembangunan Bandar Al-Watiqu Billah yang menjadi pusat pentadbiran dan komersil Daerah Kuala Nerus seluas 187 hektar akan bermula pada tahun ini dengan kos RM600 juta dan akan siap dalam tempoh lima tahun. Pusat Pentadbiran Daerah Kuala Nerus mempunyai keluasan 187.76 Hektar. Di sini akan menempatkan bangunan Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Nerus, bangunan gunasama Kerajaan Negeri, bangunan gunasama Kerajaan Persekutuan, pusat komersial, dan kemudahan-kemudahan lain. Secara umumnya, pembangunan di Pusat Pentadbiran Daerah Kuala Nerus adalah berkonsepkan “Modern & Green City”. Daerah Kuala Nerus tersedia dengan kewujudan institusi-Institusi pendidikan yang menjadikannya sebagai Lembah Ilmu. Ini adalah sejajar dengan gelaran Negeri Terengganu sebagai Anjung Ilmu. Selain daripada itu, gugusan kepulauan yang wujud di perairan Kuala Nerus seperti, Pulau Redang, Pulau Bidong, Pulau Gelok, Pulau Karah dan sebelas pulau-pulau kecil yang lain menjadikan Kuala Nerus berpotensi untuk berkembang sebagai daerah pelancongan yang bertaraf antarabangsa. Uniknya Kuala Nerus kerana daerah ini merupakan ‘Pintu Gerbang’ utama ke Negeri Terengganu kerana di sini terdapatnya Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Mahmud di Telaga Batin dan juga Pintu Keluar Lebuhraya Pantai Timur II iaitu di Gemuroh.
SEMPADAN DAERAH KUALA NERUS
REPLIKA PUSAT PENTADBIRAN DAERAH KUALA NERUS YANG BERKONSEPKAN 'MODERN & GREEN CITY' DAN AKAN MENJADI ' MINI PUTRAJAYA ' BAGI RAKYAT TERENGGANU.
Gambar Majlis Peletakan Batu Asas Pusat Pentadbiran Daerah Kuala Nerus yang disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Mizan Zainal Abidin pada 9 Mei 2015 di Kampung Baroh Tok Jiring, Kuala Nerus
|
DiKemaskini Pada Rabu, 27 Januari 2016 14:23
Jumlah Capaian Ke Laman ini :23765 kali. |
Terma Dan Syarat | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan | Piagam Pelanggan | Bantuan | Galeri |
Di kemaskini Pada : |
Ahad 11 April 2021, 15:46
|
Jumlah Pelawat : | 399566 | (Statistik Penuh) |
|